Friday, May 9, 2008

Sambungan PRU 12 Dan Pndirian Politik ABIM

Di dalam kemeriahan pihak yang menang meraikan kemenangan dan pihak yang tewas menerima kekalahan, ABIM tidak perlu ikut sama di dalam meladeni situasi ini sebagai sang oportunis dan pencari kepentingan,mahupun laksana mereka yang hilang sorak dan tergadai kampungnya. Pihak yang menang tidak mengaut semuanya manakala pihak yang kalah tidak kehilangan segalanya. Sebaliknya , kita perlu terus kekal sebagai gerakan yang objektif ; membenarkan setiap tindakan yang sejajar dengan kepentingan umat, mengusulkan pembaikan kepada setiap keputusan pemerintah yang merugikan serta tidak terperangkap dalam permainan politik kepartaian yang lazimnya berpaksikan prinsip-prinsip necesarry evils, matlamat menghalalkan cara dan politiking yang tidak bermoral. Sebagaimana kita bekerjasama untuk kebaikan dengan pihak pemerintah mahupun pembangkang atas semangat menegakkan kebenaran dan keadilan sebelum pilihan raya berlansung, maka keadaannya tetap sama selepas pilihan raya berakhir. Begitu juga pendekatan ABIM apabila tiba pada saat-saat kita perlu memprotes, mengkritik dan mencadangkan pembaikan kepada isu-isu yang perlu kepada kedua-dua pihak. Setiap warga ABIM perlu sedar dan berbangga dengan kedudukan kita yang melangkaui persoaalan politik kepartaian dan above politics, sebaliknya menjadi pejuang kepada prinsip-prinsip yang benar dan adil.

Dengan agenda 3 P- Pembela, Prihatin dan Pendidik, kita akan terus menjadi gerakan dakwah dan mengutamakan pendidikan dalam membina masyarakat. Kita akan terus menerus menjalankan usaha-usaha membina kesedaran dan penghayatan. Kita akan terus relevan kepada mana-mana parti politik mahupun pihak pemerintah yang meletakkan kepentingan umat sebagai pertimbangan utama. Kita akan terus membantu dan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang bertindak selaras dengan prinsip-prinsip Perlembagaan dan undang-undang. Kita juga akan bersama-sama bekerja dengan pihak yang terus memperjuangankan kedaulatan Islam dan penghayatannya sebagai agama nan syumul, mencakupi persoalan politik, sosial, kenegaraan, ekonomi, pendidikan, keluarga, kemasyarakatan, hiburan dan sebagainya.

Itulah sebahagian daripada intipati gagasan non partisan yang menjadi jati diri dan watak ABIM selama dekad-berdekad.